Saturday, September 13, 2008

PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM:

Dewan Ekonomi
PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM: KENAPA PERLU?
Muhammad Syukri Salleh
Universiti Sains Malaysia

Sejak kebelakangan ini, usaha mengIslamisasikan pembangunan telah dilakukan oleh banyak pihak, dari negara-negara seperti Malaysia dan Iran hinggalah kepada negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu. Namun pembangunan berteraskan Islam ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan sebaiknya kecuali dengan pengurusan yang juga Islamik. Untuk ini pelaksanaan pembangunan berteraskan Islam perlu mengetahui apa erti pengurusan Islam dan seterusnya pengurusan pembangunan berteraskan Islam.
Erti Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam
Maksud pengurusan pembangunan berteraskan Islam ialah menguruskan pembangunan secara Islam, bukan menguruskan pembangunan yang berteraskan Islam. Pembangunan yang berteraskan Islam sememangnya mesti diurus secara Islam. Secara spontan, pembangunan berteraskan Islam mesti melibatkan pengurusan pembangunan secara Islam. Sememangnya pengurusan pembangunan berteraskan Islam adalah merupakan syarat penting kepada kewujudan pembangunan berteraskan Islam.
Erti pengurusan di sini melampaui batas pengurusan konvensional yang hanya tertumpu kepada pengurusan organisasi, syarikat atau perniagaan semata-mata. Pengurusan yang dimaksudkan di dalam pengurusan pembangunan berteraskan Islam ialah pengurusan di pelbagai peringkat, dari paling bawah di peringkat rohani individu hinggalah kepada peringkat yang lebih tinggi seperti di peringkat masyarakat, negara dan antarabangsa. Ia meliputi pengurusan pelbagai bentuk hubungan, dari perhubungan mendatar sesama manusia dan sumber alam (hablumminannas) sehinggalah kepada pengurusan menegak antara manusia dengan Allah (hablumminallah).
Begitulah juga dengan erti pembangunan di sini. Ia melampaui batas pembangunan konvensional yang hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal dan material semata-mata. Pembangunan dalam pengurusan pembangunan berteraskan Islam meliputi segala aspek hidup manusia di pelbagai peringkat, samada di peringkat rohani individu, atau di peringkat masyarakat, negara dan antarabangsa. Misalnya di peringkat rohani ia melibatkan pengurusan hati, aqal dan nafsu manakala di peringkat masyarakat pula ia merangkumi pengurusan infrastruktur, ekologi, alam sekitar, kesihatan, pendidikan, gejala sosial, kejuruteraan sosial, ekonomi dan sebagainya. Begitulah juga di peringkat negara ia merangkumi pengurusan politik, pentadbiran, pemerintahan, ketenteraan, perundangan dan sebagainya. Manakala di peringkat antarabangsa ia merangkumi pengurusan perdagangan, dasar luarnegara, diplomatik dan lain-lain. Segala aspek di pelbagai peringkat ini perlu diurus secara Islam untuk melahirkan pembangunan berteraskan Islam yang komprehensif.
Dengan maksud pengurusan dan pembangunan yang sepadu dan meliputi segala-galanya itu (all-embracing), barulah pembangunan berteraskan Islam itu menjadi pembangunan yang benar-benar holistik. Di dalamnya mengandungi hal-hal yang kompleks, seperti yang terdapat di dalam hal-ehwal diri dalaman manusia hinggalah kepada hal-ehwal perhubungan masyarakat pelbagai kaum dan agama, hal-ehwal kenegaraan dan hal-ehwal diplomatik dan pembangunan perdagangan antarabangsa. Pendeknya pengurusan pembangunan berteraskan Islam membuka horizon yang sangat luas, tetapi sepadu dan cukup komprehensif.
Mengapa Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam?
Di dalam dunia hari ini, keperluan terhadap pengurusan pembangunan berteraskan Islam ini belum dirasai oleh ramai orang dan oleh itu belum menjadi keutamaan, walaupun banyak pembangunan berteraskan Islam cuba diusahakan. Dalam kebanyakan kes, `pembangunan berteraskan Islam’ cuba direalisasikan dalam keadaan pengurusannya bercampuraduk dengan pengurusan cara konvensional. Pengurus `pembangunan berteraskan Islam’ itu sendiri tidak berfungsi dan tidak cuba diangkat fungsinya sebagai khalifah dan hamba Allah. Pengukur pembangunan yang dipakai pula masih sama dengan pengukur pembangunan konvensional seperti pendapatan per kapita, keluaran kasar negara/negeri dan sebagainya yang terikat kuat dengan nilai-nilai kuantitatif dan materialis. Matlamat pembangunan masih tersangkut kepada matlamat pemaksimaan pengeluaran dan kepenggunaan, bukan kepada matlamat merealisasikan perjanjian dengan Allah dan mencari keredhaanNya agar manusia bahagia di dunia dan di akhirat. Pembangunan masih menjadi tuan kepada manusia dan bukan alat manusia membuktikan perjanjian mereka dengan Allah dan alat mencari keredhaan Allah SWT. Malah keseluruhan pembangunan yang dikatakan `berteraskan Islam’ itu masih dilingkungi kuat oleh falsafah dan paradigme pembangunan konvensional.
Untuk mengatasi segala permasalahan ini dan merealisasikan satu pembangunan berteraskan Islam secara efektif dan berjaya, sistem pengurusan pembangunan berteraskan Islam mestilah dibentuk. Selain pembentukan ini boleh dimulakan dengan kajian dan penyelidikan, ia juga mesti disekaliguskan dengan melahirkan para pengurusnya yang mampu mengendalikan pembangunan berkenaan secara Islam. Untuk ini, sudah sangat sampai masanya institusi pengajian tinggi mengadakan rancangan pengajian pengurusan pembangunan berteraskan Islam ini.
Pengajian pengurusan pembangunan berteraskan Islam ini boleh ditawarkan di peringkat sarjana muda atau ijazah lanjutan dan mesti bertunjangkan kepada epistemologi Islam, bersusur-galurkan ilmu fardhu `ain (Tauhid, Fiqh dan Tasauf) dan mempunyai kursus-kursus yang hands-on, praktikal dan profesional. Kursus-kursus seperti Sumber Epistemologi Islam, Kaedah Sains Al-Qur’an, Kaedah Hadith dan Kaedah Penyelidikan Islam boleh menjadi kursus-kursus asas untuk menjitukan diri para pelajar dengan epistemologi, worldview dan tunjang ilmu Islam. Di samping itu, kursus-kursus seperti Pengurusan Pembangunan Islam, Pemikiran Ekonomi Islam, Kaedah Ekonomi Politik Islam, Sistem Kejuruteraan Sosial, Sistem Kewangan Islam, Pengurusan Alam Sekitar, Institusi Pembangunan Islam, Ekonomi Politik Pembangunan Islam dan sebagainya boleh menjadi kursus-kursus hands-on, praktikal dan profesional.
Setakat ini, realisasi hal-hal seumpama ini hanya sedang diusahakan oleh Projek Pengurusan Pembangunan Islam (PPPI) atau Islamic Development Management Project (IDMP) di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia. Ia merupakan projek tunggal pertama di dunia yang menjadi pelopor kepada bidang ini. Sebagai permulaan, IDMP sedang mencadangkan pembentukan pakej-pakej Minor dan Sarjana (Berstruktur) untuk masing-masing ditawarkan kepada pelajar-pelajar di peringkat Sarjana Muda dan Ijazah Lanjutan. Di samping itu, IDMP juga menganjurkan Persidangan Antarabangsa setiap dua-tahun sekali, menerbitkan karya-karya yang releven dalam bentuk buku, menjalani penyelidikan dan kerja-kerja konsultansi, menganjurkan bengkel-bengkel, in-house seminar dan study group.
Alangkah baiknya kalau projek seumpama ini dapat diperkembangkan menjadi sebuah Pusat Pengajian, malah mungkin akhirnya menjadi sebuah Universiti tersendiri, agar ianya bukan sahaja dapat menumpukan kepada penyelidikan dan penulisan tetapi juga melahirkan para pengurus pembangunan berteraskan Islam yang pakar dan mahir dalam bidang masing-masing, disamping sekaligus mempunyai jiwa Islam yang tinggi

No comments: