Saturday, September 20, 2008

PENGENALAN PENGURUSAN ISLAM

1.4 OBJEKTIF PENGURUSAN.

Objektif memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi. Ia menyediakan maklumat, panduan dan arahan kepada para pekerja dalam melaksanakan aktiviti kerja harian. Objektif memandu para pekerja untuk mencapai sasaran yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan dan pihak yang berkepentingan.

Dalam konteks pengurusan Islam, antara objektif yang hendak dicapai ialah:

1. Mencapai kebaikan hidup dunia dan akhirat.

Kebaikan adalah idaman kepada semua manusia. Persoalannya apakah yang dikatakan baik tersebut? Apakah kebaikan itu kebahagiaan? Atau keseronokan itu kebahagiaan sebagaimana yang digambarkan oleh para ahli falsafah Yunani?

Apakah bahagia boleh dinilai kerana memiliki harta benda atau wang ringgit yang melimpah ruah? Kereta besar menjalar, rumah bagai mahligai atau ….. pelbagai kenikmatan hidup yang diperolehi.

Dalam konteks pengurusan Islam, baik yang sebenar adalah baik dunia dan akhirat. Manusia menjadikan dunia sebagai landasan/jambatan ke akhirat yang kekal abadi. Di akhirat dijauhi daripada api neraka dan mendapat nikmat hidup di syurga. Ini yang sering didoakan sebagaimana firman Allah swt bermaksud;

“Ada di antara manusia berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami (kebaikan) di dunia (orang-orang yang diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

Mereka itulah yang akan memperolehi bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat hitungannya.

(al-Baqarah: 200 - 202)

Untuk mencapai kebaikan tersebut sudah pasti kita perlu melakukan semua aktiviti hidup yang selaras dengan tuntutan syariah dengan berpaksikan ketauhidan kepada Allah swt. Bahagia, baik dan buruk berasakan kenyataan yang diwahyu oleh Allah swt, bukannya berasaskan kefahaman manusia semata-mata.

2. Menegakkan kebaikan dan menghapuskan kerosakan

Objektif seterusnya ialah untuk menegakkan kebaikan dan menghapuskan kerosakan di atas muka bumi. Ini adalah antara tugas manusia sebagai khalifah fi al-ard - khalifah di atas muka bumi. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 30, bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dibumi”

Khalifah di sini ialah kita, manusia. Bermula dengan Adam a.s dan keturunannya. Visi dan misi cukup jelas iaitu memakmurkan alam dengan syariat-Nya.

Dalam Surah al-Haj ayat 41 pula Allah berfirman, bermaksud:

“iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perbuatan yang mungkar; dan (ingatlah!) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Gambaran dalam ayat ini cukup jelas, iaitu mereka yang diberikan kedudukan; memegang jawatan, berkuasa atau sebagainya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab asas; solat, zakat dan berbuat baik serta mencegah kejahatan dan mungkar.

Ini sesuai dengan fungsi manusia sebagai hamba-Nya. Dalam Surah ad-Dzariyat ayat 56 Allah berfirman, bermaksud:

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”.


3. Organisasi yang “baik” dan diampuni oleh Allah swt.

Objektif seterusnya ialah untuk mewujudkan organisasi yang baik, aman dan makmur serta dirahmati Allah swt yang Maha Pengampun. Ini sebagaimana dirakamkan oleh al-Quran melalui Surah Saba’ ayat 15, bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat ditempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subor), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (qariah mereka). (Lalu dikataan kepada mereka): “makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (Negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman makmur), dan (Tuhan kamu ialah) Tuhan yang amat Pengampun!”.


4. Menjaga nilai dan maslahat (kepentingan) manusia:

Terdapat pelbagai nilai dan kepentingan (maslahat) yang diperlukan oleh manusia. Ini sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan sesuai dengan tujuan kedatangan syariat (maqasid syariat). Antara maslahat yang utama tersebut ialah:
i. Keagamaan
ii. Nyawa
iii. Keintelektualan
iv. Kehormatan
v. Kehartaan

Objektif Pengurusan Islam adalah untuk menjaga kelima-lima maslahat ini agar berada dalam keadaan yang diredai Allah swt. Justeru, para pengurus dan pekerja Muslim perlu memelihara kelima-lima aspek ini agar tidak terjerumus ke arah larangan Allah swt. Kelima-lima nilai (maslahat) ini merupakan perkara dharuri (asas) kepada manusia.

i. Keagamaan

Nilai keagamaan merupakan nilai teras dan asas kepada nilai-nilai yang lain. Nilai ini perlu dipenuhi bagi memelihara dan melaksanakan tuntutan agama seseorang. Nilai ini perlu dipenuhi tanpa kompromi melainkan dalam keadaan-keadaan yang boleh membahaya dan mengancam keselamatan nyawa seseorang.

Pengurus atau pekerja hendaklah melaksanakan tuntutan-tuntutan agamanya dan meninggal serta melarang daripada melakukan sesuatu yang ditegah. Contohnya, seseorang Islam hendaklah dibenarkan menunaikan “solat fardhu”, merayakan perayaan dan dilarang daripada melakukan penipuan, rasuah dan sebagainya.

Konsep tiada paksaan dalam agama perlu difahami secara jelas dan tepat. Lihat al-Quran Surah al-Baqarah ayat 256.


ii. Nyawa

Nilai yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan tubuh badan seseorang daripada dicederakan atau didera. Faktor-faktor atau punca-punca yang mendatangkan ancaman kepada keselamatan nyawa hendaklah dikenalpasti dan dihapuskan.

Pihak pengurusan juga hendaklah menentukan bahawa kemudahan perubatan dan rawatan pemulihan dapat diberikan dalam kadar yang paling cepat jika berlaku kecemasan.

Di samping itu, pihak pengurusan hendaklah bertegas dalam perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan nyawa. Penderaan terhadap anggota tubuh badan, perbuatan membunuh diri dan pembunuhan (kematian yang tidak dibenarkan oleh undang-undang) hendaklah dijauhi, ditegah dan dilarang samasekali.

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”
Al-Maidah: 32


iii. Akal (Keintelektualan)

Merupakan nilai yang berkaitan dengan kewarasan minda dan kesempurnaan akal fikiran seseorang.

Sistem pengurusan atau pentadbiran hendaklah memastikan bahawa para pekerjanya diberikan peluang dan hak untuk menyuarakan pendapat, berfikir, mendapatkan pelbagai maklumat, belajar sehingga ke peringkat yang semaksima mungkin, berkreatif dan lain-lain lagi.

pihak pengurusan tidak dibenarkan untuk mengadakan halangan-halangan yang mungkin menyekat kepada pencapaian nilai ini.

Menganjurkan seminar, latihan, bengkel dan kursusuntuk mempertingkatkan mutu pengurusan adalah bertepatan dengan anjuran Islam mengenai dengan kepentingan dan keperluan nilai ini.

Menyediakan kemudahan telekomunikasi, peluang menyambung pelajaran dan kebebasan untuk menyuarakan pendapat serta berkreatif.

Menganjurkan majlis keraian atau tahunan yang disertai dengan hidangan minuman keras adalah sesuatu yang amat tidak digalakkan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan permujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Al-Maidah: 90


iv. Maruah (Kehormatan/Harga diri)

Nilai ini berkaitan dengan kehormatan diri seseorang. Ia juga merangkumi soal penghormatan yang seharusnya ada dan diberi kepada setiap individu, keturunannya dan masyarakat keseluruhannya.

Setiap individu tidak boleh mendedahkan diri dan keluarganya kepada unsur-unsur yang boleh merendahkan taraf kehormatan mereka. Mereka juga perlu menegah pihak lain daripada menjatuhkan maruah mereka.

Contohnya: Islam tidak menggalakkan pendedahan aurat, pergaulan bebas-lepas di antara lelaki dan perempuan, pekerjaan yang tidak halal, penyebaran fitnah-memfitnah dan perbuatan hasad dengki.

Islam mengharuskan dan menggalakkan penjagaan tata-laku, perkahwinan, kata-kata pujian, perhubungan yang beradab dan sanjungan yang ikhlas. Menerapkan nilai-nilai mulia dalam amalan pengurusan dan pentadbiran. Mewujudkan anugerah-anugerah kehormat, sijil-sijil pujian dan kenaikan pangkat berasaskan kecemerlangan kerja dan prestasi kepada pekerja yang berkelayakan.

Firman Allah:

“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan; dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir”.

Al-Baqarah : 191

v. Kehartaan

Merupakan nilai dan keperluan manusia yang berkaitan dengan pencarian, pemilikan dan perbelanjaan harta benda.

Harta yang dimaksudkan ialah sesuatu yang boleh didapati, dikuasai dan dimanfaatkan penggunaannya. Nilai ini (kehartaan) perlu dipenuhi oleh setiap individu kerana ianya mempunyai perkaitan yang rapat dengan kehidupan mereka.

Islam tidak membenarkan pencarian melalui dan dari sumber-sumber yang haram. (judi, pelacuran, peras ugut, dll)

Pihak pengurusan perlu memastikan setiap pekerja diberi upah, ganjaran, hadiah, dan sebagainya untuk mereka pergunakannya bagi memenuhi keperluan hidup.

kerja tanpa upah atau gaji (ganjaran yang setimpal) merupakan satu perbuatan keji di sisi Islam.

Harta yang dicari dan dimiliki oleh seseorang seharusnya juga dibelanjakan pada dan kepada perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak (Islam).

Islam tidak membenarkan pembaziran.












1.5 Sejarah Pengurusan Islam

Fokus utama perbincangan ialah:

1. Pengurusan Era Rasulullah SAW
2. Pengurusan Era Khulafa Al-Rasyidin

Perbincangan:

1. Pengurusan Era Rasulullah SAW

Sesuai dengan Bab Pengenalan Pengurusan Islam, fokus tajuk ini ialah beberapa elemen penting yang dilaksana oleh Rasulullah SAW dalam menguruskan organisasi kerajaan pimpinan Baginda saperti:

i. Pengurusan Sumber Manusia
ii. Pengurusan Organisasi
iii. Corak Pengurusan Rasulullah SAW

i. Pengurusan Sumber Manusia

Antaranya:
• Perlantikan berdasarkan kelayakan
• Temuduga
• Pembayaran upah
• Agenda latihan

ii. Pengurusan Organisasi

Antaranya:
• Pembentukan struktur organissi pentabirn
• Menyusun struktur organisasi
• Menwujudkan sistem kawalan dan pengawasan

iii. Corak Pengurusan Rasulullah SAW

Antaranya:
• Amalan syura
• Dasar pintu terbuka
• Pembinaan hukum berasaskan keadilan, mencegah yang menyusahkan dan menolak yang memudaratkan

2. Pengurusan Era Khulafa al-Rasyidin

i. Pengurusan Sumber Manusia
ii. Pengurusan Organisasi


Lebih lanjut lihat:

1. Ahmad Ibrahim Abu Sin, Pengurusan Dalam Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hal. 36 – 43).

2. Yasin Mahzar,Organisasi Pimpinan Rasulullah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

3. Muhmmmad al-Buraey, Pembangunan Pentadbiran Menurut Perspektif Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


1.6 KESIMPULAN

Sesungguhnya manusia perlu kembali kepada sistem yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia, iaitu sistem Islam. Banyak sebab kenapa manusia perlu kepada sistem pengurusan acuan sendiri, antaranya:

1. Kelemahan Sistem Pengurusan Moden.

• Falsafah; teori-teori semasa memisahkan nilai-nilai masyarakat setempat dari nilai-nilai organisasi.

• Soal dasar; iaitu teori-teori ini lebih menitikberatkan soal dalaman organisasi tanpa mengambil kira soal-soal luaran.

2. Pengurusan dengan Acuan dan Sistem Nilai Sendiri

3. Sistem Pengurusan Islam menjamin alternatif terbaik kepada pembaharuan, peningkatan dan pengukuhan kualiti pentadbiran masa kini.

4. Pembentukan Identiti Bangsa Bermartabat.

5. Pengisian dalam Negara Islam yang progresif

6. Keistimewaan Sistem Pengurusan Islam itu sendiri


Lihat Wan Liz Ozman Wan Omar, Pengurusan Islam Abad ke 21, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. Muka surat 29 – 39.

No comments: